Thursday, June 04, 2009

Kebebasan Mahasiswa Dalam PRK

Apakah sahabat Mahasiswa bersetuju sekiranya Pilihan Raya Kampus, PRK dapat dilaksanakan dengan membenarkan Mahasiswa mempunyai Pertubuhan Politik Kampus (kemudian daripada ini disebut "Parti Mahasiswa") ?


Dari hasil pemerhatian dan pengalaman selama 5 tahun dalam PRK, didapati bahawa rata-rata Mahasiswa memilih calon-calon Majlis Perwakilan Pelajar , MPP adalah melalui wajah-wajah pada poster dan kertas undi. Malah ramai Mahasiswa sendiri tidak tahu siapakah nama calon yang dipilih. Bagaimanakah proses pemilihan kepimpinan Mahasiswa diperingkat Menara Gading ini jadi seperti ini?


Mahasiswa seharusnya tahu apakah perjuangan yang akan dibawa oleh calon-calon perwakilan. Bukanlah dengan hanya memilih dari raut wajah sahaja. Untuk menyampaikan stand calon-calon perwakilan kepada Mahasiswa secara menyeluruh, Parti Mahasiswa sangat perlu dibenarkan. Mahasiswa perlulah dibenarkan untuk mempunyai pertubuhan supaya mereka dapat bergerak secara proaktif. Perkara ini adalah mirip suasana Pilihan Raya Umum, PRU. Dasar diadakan PRK adalah untuk melahirkan Mahasiswa yang matang & bersedia untuk menjadi pemimpin negara pada masa yang akan datang. Sekiranya terdapat lagi undang-undang yang menyekat PRK dari menjadi seperti PRU, maka ianya seharusnya diubah.


Mahasiswa seharusnya dibenarkan untuk bertanding diatas tiket mana-mana Parti Mahasiswa dan kertas-kertas undi seharusnya menyatakan dari Parti Mahasiswa manakah calon itu berasal. Ini perlu dilaksanakan supaya Mahasiswa dapat memilih Pemimpin mereka berdasarkan Ideologi yang dibawa. Mahasiswa perlu segera dibebaskan dari cengkaman pemikiran. Minda Mahasiswa perlu di bebaskan. Mahasiswa sudah mula bosan dengan sekatan pemikiran dan ini telah berjaya melahirkan Mahasiswa yang hanya memandang enteng pada perkara sekitarnya.


Disini saya ingin menggesa supaya syarat dan undang-undang PRK dikaji semula. Mahasiswa seharusnya diberi peluang untuk bertanding atas tiket Parti Mahasiswa demi melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa seperti dahulu.


1 comment:

  1. apa kata kau usulkan dulu kepada HEP..tengok² kalau ade maklum balas positif. kalau setakat bersuara dalam blog, orang tak nampak beb..

    ReplyDelete